Kedua-dua ibadah ini adalah antara amalan mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadhilatnya, tetapi malangnya masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman menerka mengenainya, sehinggakan ada yang memandang ringan walaupun mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan qorban dan aqiqah ini. Semoga dengan penjelasan yang serba sedikit ini dapat membantu kefahaman kita semua tentang ibadat Qurban serta Aqiqah serta keinginan untuk sama-sama mencari pahala kedua ibadah ini akan meningkat.
Apakah sebenarnya qurban dan aqiqah itu? Apakah hukum melakukannya? Berapa kali kita dituntut melakukan qurban sepanjang hayat kita? Apakah syarat-syarat binatang yang dikorbankan? Apakah perbezaan antara qurban dan aqiqah? Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahaian untuk aqiqah? Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?
Demikianlah antara masalah yang akan cuba kita kupas serta perjelaskan dibahagian ini dan disamping itu akan dijelaskan beberapa perkara berkaitan dengan ibadah kurban dan aqiqah, semoga memberi kefahaman yang jelas hingga kita dapat menghayatinya dengan penuh keimanan kerana menjunjung perintah Allah s.w.t. dan mendapat fadhilat daripada amalan yang akan kita lakukan ini.
PENYEMBELIHAN QURBAN
Qurban ialah penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat 'Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. .
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur." (surah al-Haj:36)
"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah." (Surah al-Kauthar:2)
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu."
(Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Hukum Hukumnya Sunat Muakkad(dituntut).
a)Islam
b)Merdeka
c)Baligh lagi berakal
d)Mampu untuk berqurban
Maksud Korban
Menyembelih binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai umur* pada hari raya korban (Aidil Adha) iaitu pada 10 Zulhijjah selepas sembahyang sehingga gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13 Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.
Walaupun hukum berqurban itu sunnat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya." (Sila Rujuk: Fiqh al-Sunnah)
* Umur binatang yang boleh dikorbankan:-
- Unta 5 thn ke atas – 7 bahagian.
- Lembu, kerbau 2 thn ke atas – 7 bahagian.
- Kambing 2 thn ke atas- 1 bahagian.
- Biri-biri, kibas 1 ½ thn- 1 bahagian.
* Ditegah berkorban dengan binatang yang cacat, berpenyakit, patah anggotanya dan terlalu kurus.
Sunat-sunat ketika menyembelih binatang korban:
-1. Membaca Basmalah
2. Selawat ke atas nabi
3. Menghadap kiblat
4. Bertakbir
5. Berdoa supaya diterima ibadah korban itu.
Nota:
a) Daging korban yang diniat nazar oleh orang yang bernazar, hendaklah di sedekahkan semuanya.
b) 1/3 daripada daging korban sunat boleh dimakan oleh mereka yang berkorban dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin, boleh juga di sedekahkan kepada orang kaya mengikut mazhab Syafie..
Mereka yang melakukan ibadat korban disunatkan menyaksikan penyembelihan binatang korban tersebut seperti manasabda Rasulullah maksudnya:“Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korban mu dan saksikanlah, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampun bagi mu atas dosa-dosa yang telah lalu”.(Riwayat Bazzar dan Ibnu Hibban).
# Menyaksikan sendiri perlaksanaan korban tidak termasuk dalam syarat-syarat ibadat korban.# Imam Khatib Syarbini di dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj menyatakan, disunatkan bagi mereka yang melaksanakan korban untuk menyembelih sendiri binatang korban tersebut, sekiranya tidak mampu disunatkan bagi mereka untuk menyaksikan penyembelihan itu.
HIKMAH DAN FADHILAT
Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
Mendidik jiwa kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim diakhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat."
Aqiqah
Maksudnya ialah menyembelih kambing atau binatang ternakan seperti biri-biri, kibas untuk anak yang baru lahir khususnya pada hari yang ketujuh kelahirannya atau selewat-lewatnya sebelum baligh.
Hukum:
Sunat muakkad (dituntut).Dalil:Antara dalilnya ialah Hadis Rasulullah s.a.w.:Dari Samirah, katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuhnya, diberi nama dan di cukur kepalanya. (HR Ashabus Sunan)
Syarat-syarat Aqiqah:
a) Dari sudut umur binatang Aqiqah & korban sama sahaja.
*Umur binatang yang boleh dikorbankan:-
-Unta 5 thn ke atas – 7 bahagian.
-Lembu, kerbau 2 thn ke atas – 7 bahagian.
-Kambing 2 thn ke atas- 1 bahagian.
-Biri-biri, kibas 1 ½ thn- 1 bahagian.
b) Sembelihan aqiqah dipotong mengikut sendinya dengan tidak memecahkan tulang sesuai dengan tujuan aqiqah itu sebagai “Fida’” (mempertalikan ikatan diri anak dengan Allah swt).
c) Sunat dimasak dan diagih atau dijamu fakir dan miskin, ahli keluarga, jiran tetangga dan saudara mara. Berbeza dengan daging korban, sunat diagihkan daging yang belum dimasak.
d) Anak lelaki disunatkan aqiqah dengan dua ekor kambing dan seekor untuk anak perempuan kerana mengikut sunnah Rasulullah.‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:Maksudnya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."(Hadis riwayat al-Hakim)
Bila tempoh aqiqah?
Disunatkan melakukan aqiqah pada hari ketujuh kelahiran anak, sebagaimana yang terkandung di dalam hadis riwayat al-Baihaqi dari Aisyah.
Berikut ini adalah beberapa pendapat ulamak mengenainya:
1. Kata Imam al-Rafi’i dan selainnya, aqiqah tidak luput (kesunnahannya) sebab habis tempoh tujuh hari.
2. Al-Mawardi pula berkata, bahawa aqiqah selepas hari ketujuh dianggap sebagai qadhak.
3. Al-Syairazi berkata di dalam al-Muhazzab, jika melakukan aqiqah selepas hari ketujuh atau sebelumnya, iaitu selepas kelahiran anak, maka itu sudah memadai (dibolehkan). Dan tidak boleh melakukan aqiqah sebelum kelahiran anak.
4. Imam al-Nawawi berkata, tidak luput kesunahan aqiqah dengan melewatkannya melebihi tujuh hari, tetapi disunatkan tidak melewatkannya sehingga anak itu mencecah usia baligh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
SALAM BRO
Naskah ori atau ciplak
Post a Comment